Pertukaran MoU Halways-NAFAS dan MoA Halways-UPM

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah menubuhkan syarikat NAFAS Feedmills Sdn Bhd sebagai antara pembekal utama kepada keperluan makanan ternakan haiwan yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara dalam bidang penternakan. Bagi mencapai objektif ini, pihak NAFAS telah berkerjasama dengan syarikat bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia iaitu syarikat Halways Sdn Bhd untuk menghasilkan formula produk makanan ternakan yang ekonomi dan bermutu tinggi yang menggunakan teknologi terkini.

Industri makanan ternakan di Malaysia terpaksa berdepan dengan kos bahan mentah import seperti soya dan jagung yang semakin meningkat dan membebankan penternak. Isu ini menjadi cabaran besar untuk NAFAS menghasilkan produk dengan kos yang mampu ditanggung oleh penternak. Oleh itu, pihak NAFAS dan Halways Sdn Bhd bekerjasama menggunakan teknologi dari Halways Sdn Bhd dan UPM bagi menghasilkan formula dan teknologi yang dapat kurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import dan turunkan kos mengilang makanan ternakan.

Dengan kepakaran ketiga-tiga pihak (NAFAS, Halways dan UPM) dan gabungan teknologi pemprosesan palm kernel cake (PKC) dan teknologi formula terkini, kita telah berjaya membangunkan beberapa formula yang lebih ekonomi untuk dedak ayam pedaging. Pihak NAFAS dan Halways Sdn Bhd menjangkakan produk dedak ayam pedaging menggunakan teknologi terbaru ini akan berada di pasaran pada 2018.

Melalui kerjasama ini penyelidikan beberapa formula dan teknologi lain bagi ternakan unggas, ternakan ruminan dan ternakan akuakultur sedang dan akan dijalankan.

Pihak NAFAS, Halways Sdn Bhd dan UPM yakin kerjasama ini akan menghasilkan produk makanan ternakan yang mampu membantu penternak ke arah penternakan lestari yang dapat mengurangkan kos dan tingkatkan keuntungan.